SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG RASMI SK SENTOSA SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN KPM , 26500 MARAN,PAHANG

Friday, March 6, 2009

Sejarah Sekolah

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SENTOSA                                                                                                       

Latar Belakang Sekolah
Sekolah Kebangsaan Sentosa atau nama ringkasnya SK Sentosa, merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan Maran-Temerloh,Kampung Sentosa. Kampung Sentosa adalah sebuah kampung yang terletak kira-kira 10km dari Bandar Maran. Kampung ini merupakan penempatan semula mangsa –mangsa banjir pada tahun 1971. Perpindahan penduduk bermula pada awal tahun 1975 sacara berperingkat. Mereka yang terlibat adalah terdiri daripada penduduk-penduduk dari kampung Pejing,Bukit Cempedak, Lompat, Sungai Ling, Pesagi dan Paya Pasir.Ketika itu Kampung Sentosa dikenali dengan nama Kampung Batu 55.
Pada peringkat awal, anak-anak Kampung Sentosa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Maran. Pada akhir tahun 1978 , sebuah sekolah yang terdiri daripada satu blok bangunan dua tingkat yang mengandungi enam bilik darjah telah didirikan oleh kerajaan. Sekolah ini dinamakan dengan nama Sekolah Kebangsaan Batu 55.
Pada 7.11.1980, sekolah ini telah dirasmikan oleh YB. Tan Sri Dato Hj. Murad bin Mohd Noor iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Berikutan dengan itu, Sekolah ini ditukar nama Kepada Sekolah Kebangsaan Sentosa.
Guru Besar pertama di sekolah ini ialah Encik Ismail bin Baki. Beliau mula berkhidmat pada tahun 1980 hingga 1984. Terdapat 5 orang guru dan 90 orang murid ketika itu. Surau sekolah ini pula dipindahkan dari Simpang Jengka ke Sekolah ini pada tahun 1994. Pada akhir tahun 1998, sebuah bangunan tambahan telah dibina dengan mengandungi 2 bilik darjah. Pada tahun 2000, bangunan sekolah ini kekal dengan 2 bangunan utama, sebuah kantin, sebuah surau dan mempunyai 14 orang guru termasuk Guru Besar, seorang pembantu
tadbir, 2 orang pekerja rendah am dan 233 orang murid.
Kini, terdapat tiga bangunan sekolah, satu makmal komputer, satu bangunan kantin, dan sebuah surau. Sekolah Kebangsaan Sentosa diterajui oleh seorang Guru Besar yang berpengalaman iaitu Puan Yusraini binti Abdul Muluk. Beliau baru 2 bulan ditukarkan ke sekolah tersebut kerana pihak Pejabat Pendidikan Maran dan Jabatan Pendidikan Negeri mempercayai kebolehan beliau meneraju sebuah sekolah yang baik di daerah Maran.
Pentadbiran SK Sentosa dibantu oleh 18 orang guru, 4 orang staf sokongan dan 2 orang pengawal keselamatan. Guru-guru merupakan pendidik yang berpengalaman serta berkhidmat lebih daripada 10 tahun. Terdapat 9 orang guru yang memiliki ijazah sarjana muda, 3 orang yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda  dan selebihnya mempunyai diploma pendidikan. Terdapat juga beberapa orang guru yang menjadi jurulatih negeri Pahang bagi matapelajaran tertentu.
Murid-murid SK Sentosa berjumlah 135 orang daripada pra-sekolah hingga tahun 6 dan merupakan anak-anak penduduk setempat. Terdapat juga beberapa orang murid daripada luar kawasan seperti Kuala Lumpur yang bersekolah di sini kerana tinggal bersama datuk atau nenek mereka.
SK Sentosa merupakan salah sebuah sekolah yang cemerlang dalam pencapaian akademik di daerah Maran dan telah menerima Anugerah Tawaran Baru (New Deal) kepada Guru Besar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan tiga tahun berturut-turut iaitu 2010, 2011 dan 2012. Kecemerlangan SK Sentosa diserlahkan lagi dengan pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 7, Kementerian Pelajaran Malaysia dan merupakan satu-satunya sekolah Kluster di daerah Maran.